Thursday, 13 December 2012

Kata Pemeri

Pengenalan
  1. Terdapat dua kata pemeri sahaja dalam tatabahasa Melayu, iaitu:
    a) ialah
    b) adalah
  2. Kata pemeri merupakan unsur yang menjadi perangkai atau penghubung antara subjek dengan predikat atau frasa-frasa utama dalam predikat.
  3. Walau bagaimanapun, kata pemeri bukan kata hubung.
  4. Subjek bermaksud  pokok ayat atau ayat utama.
  5. Predikat bermaksud keterangan kepada subjek.
  6. Contoh penggunaan kata pemeri sebagai penghubung antara subjek dengan predikat atau frasa-frasa utama dalam predikat sebagaimana berikut:
Contoh 1:
Saiful ialah abang Ahmad

Saiful -------------> subjek
ialah ---------------> kata pemeri
abang Ahmad -------> predikat

Penggunaan Kata Pemeri ialah

  1. Kata pemeri ialah hanya boleh digunakan di hadapan frasa nama secara persamaan sahaja.
  2. Walau bagaimanapun, anda perlu ingat bahawa frasa nama boleh terdiri daripada satu perkataan nama atau lebih.

    Contoh 1:
    Kereta yang berwarna merah itu ialah kereta ayah Faris yang baharu.

    Salah jika:
    Kereta yang berwarna merah itu adalah kereta ayah Faris yang baharu.
    Hal ini demikian kerana kereta merupakan kata nama.
    Jadi, kereta ayah Faris merupakan frasa nama.
    Oleh itu, kata pemeri ialah paling tepat digunakan.

    Contoh 2:
    Masalah yang dihadapi oleh kilang pakaian Syarikat Budi ialah kekurangan tenaga mahir.

    Salah jika:
    Masalah yang dihadapi oleh kilang pakaian Syarikat Budi adalah kekurangan tenaga mahir.
    Hal ini demikian kerana kekurangan merupakan kata nama terbitan.
    Jadi, kekurangan tenaga mahir merupakan frasa nama.
    Oleh itu, kata pemeri ialah paling tepat digunakan.
Penggunaan Kata Pemeri Adalah
  1. Kata pemeri adalah bukan kata hubung walaupun untuk menghubung antara subjek dengan predikat secara huraian.
  2. Anda juga perlu ingat bahawa frasa boleh terdiri daripada satu perkataan atau lebih.
  3. Penggunaan kata pemeri adalah boleh digunakan di hadapan frasa adjektif.

    Contoh 1:
    Warna pakaiannya adalah terlalu pudar.

    Salah jika:
    Warna pakaiannya ialah terlalu pudar.
    Hal ini demikian kerana pudar merupakan kata adjektif.
    Jadi, terlalu pudar merupakan frasa adjektif.
    Oleh itu, kata pemeri adalah paling tepat digunakan.

    Contoh 2:
    Sumbangan yang diberikan oleh beliau adalah amat besar.

    Salah jika:
    Sumbangan yang diberikan oleh beliau ialah amat besar.
    Hal ini demikian kerana besar merupakan kata adjektif.
    Jadi, amat besar merupakan frasa adjektif.
    Oleh itu, kata pemeri adalah paling tepat digunakan.

Wednesday, 24 October 2012

Persembahan Murid - Melafazkan Pantun Dua Kerat

Murid-murid tahun 2 melafazkan pantun dua kerat mengikut kumpulan.


Burung pucung terbang di udara,
Banyak pelancong ke taman negara.

Burung puyuh kecil badannya,
Pokok buluh banyak gunanya.

Kumpulan Bertimbang Rasa

Kumpulan Murah Hati

Kumpulan Rajin

Burung tempua bersarang tinggi,
Banyak gua sering dikunjungi.

Anak kerbau di tengah bendang,
Hutan hijau indah dipandang.

Kumpulan Bertanggungjawab

Kumpulan Berdisiplin






Aktiviti Kata Tanya Tahun 2

Aktiviti Kelas



Murid-murid menjawab soalan pada papan hitam.